Monday, January 19, 2009

Kenali Dirimu Rata-Rata...

Manusia merupakan makhluk Tuhan yang paling istimewa. Manusia dianugerahkan akal yang boleh berfikir bagi membezakan yang baik dan buruk. Kerana akal yang satu inilah membezakan antara manusia, binatang dan makhluk yang lain. Begitulah ketinggian 'darjat' yang diberikan kepada makhluk yang bergelar 'manusia'. Namun begitu, kenapa masih ada yang menyamakan sikap manusia itu seperti binatang??? Benar atau tidak bergantung kepada persepsi masing-masing...

Kenali dirimu rata-rata.... apa yang dimaksudkan dengan ayat tersebut? Kita hendaklah lebih mengenali, memahami dan menyelami siapa diri kita yang sebenar daripada orang lain mengenali diri kita. Adakah kita ini membawa kebaikan atau keburukan kepada Tuhan, masyarakat dan alam semesta? Bagaimana untuk kita mengenali dan memahami diri masing-masing? Perlukah kita bertanya kepada orang sekeliling tentang diri kita ataupun membuat bancian kepada rakan-rakan tentang diri kita? Dalam konteks ini adakah Tuhan diperlukan untuk menguatkan lagi bukti-bukti dan fakta-fakta yang diberikan oleh rakan-rakan kita tadi?

Mengenali diri sendiri tidak semudah seperti kita mengenali orang lain. Sering kita keliru dengan apa yang kita katakan, lakukan dan perhatikan. Kita sendiri tidak faham akan diri kita sendiri. Bak kata pepatah, kuman seberang lautan nampak tetapi gajah depan mata tak nampak. Pepatah ini sangat sesuai kepada diri kita. Walaupun pelbagai perkara yang berlaku tidak kita gemari namun perkara itu jugalah yang kita lakukan dalam kehidupan seharian. Contohnya, kita tidak suka akan pengguna jalanraya yang membuang sampah dari dalam kereta namun tidak ketinggalan kita juga gemar melakukan perlakuan yang sama. Jadi kenapa tidak kita mencermin diri sendiri sebelum menebalikkan cermin tersebut kepada orang lain?

Sikap manusia tidak lepas dari melakukan kesilapan. Walau bagaimanapun, kerana kesilapan manusia mengenal diri ! Manusia sering 'terjaga' apabila mendapat mimpi yang buruk dan berasa geram kerana bangun tidur dalam keadaan yang terkejut. Namun, kerana mimpi buruk itulah kita terus bangkit daripada tidur yang lena dan melakukan amal dan ibadah kepada si Pencipta Manusia.

Hukum karma ada mengatakan what you gives, you get back. Apa sahaja yang kita berikan kepada orang lain, itu jugalah yang akan kita perolehi. Walau bagaimanapun, janganlah kita mengharapkan sesuatu yang baik sahaja. Lumrah manusia mahukan yang baik, elok dan cantik sahaja sedangkan kita memerlukan 'mimpi buruk' juga. Kerana itulah manusia sering meminta balasan yang baik sama ada secara sedar atau tidak. Ketahuilah, kebaikan itu tidak semestinya berpihak kepada kita. Bukan warna yang terang sahaja diperlukan malahan warna gelap dan pudar juga perlu ada agar kehidupan kita bewarna-warni.

Manusia sering membicarakan tentang kehidupan orang lain. Malangnya, buruk sahaja yang nampak malahan manusia bisa belajar daripada 'buruk' orang lain itu. Tetapi, kenapa yang 'buruk' terus menjadi umpatan dan kejian para manusia? Kenapa tidak dijadikan tauladan sekaligus sempadan. Jangan hanya jadikan sempadan tanpa memikirkan kebaikan disebalik kejadian itu. Hari ini kawan kita susah esok lusa kita pula yang susah. Oleh itu, kita belajar dari pengalaman kawan kita jika kita belum atau tidak pernah mengalami keadaan itu. Bagaimana dia menangani keadaan itu dan apakah yang perlu dilakukan? Bukan mentertawakan nasib kawan yang ditimpa 'tangga'. Hari ini kita mentertawakan orang, esok lusa orang lain pula yang mentertawakan kita.

Manusia tidak senang melihat orang lain senang. Anda percaya...? Tidak kira bangsa apa sekalipun jika berdepan dengan orang yang lagi senang daripada diri sendiri pasti akan timbul perasaan cemburu, dengki dan lain-lain. Kenapa perkara ini terjadi? Kerana kita tidak mengenal diri rata-rata.. Jika kita kenal diri rata-rata pasti cemburu, iri dan hasad tidak terjadi. Ini kerana kita akan berfikir lebih panjang tentang kemampuan diri sendiri. Pokok pangkalnya, menjadi lebih matang.

Manusia yang matang tidak akan membuang masanya dengan perkara-perkara yang boleh menghancurkan diri sendiri. Cemburu, hasad dengki dan iri hati adalah perkara-perkara yang boleh memakan diri sendiri. Jadi, berhati-hatilah dengan 'diri sendiri'.

Kesimpulannya, musuh yang paling jahat adalah diri kita sendiri. Malahan 'musuh' ini lagi sukar untuk diramal rentaknya. Rentak yang pelbagai membuatkan akal terus pening dan anggota badan diluar kawalan. Maka, terjadilah perkara yang memalukan diri sendiri. Oleh itu, jangan jadikan akal sebagai raja tetapi lantiklah hati sebagai raja, akal sebagai menteri dan anggota badan sebagai tentera.

No comments:

Post a Comment